Thursday, 29 December 2016

AGIHAN SUMBANGAN KEPERLUAN SEKOLAH

Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) telah menganjurkan Kempen Sumbangan Keperluan Sekolah yang bermula pada 18 hingga 22 Disember 2016. Program ini diadakan untuk membantu ibubapa daripada skop target Yayasan Pendidikan MAIDAM dalam membuat persiapan menjelang pembukaan sesi baharu persekolahan. Sumbangan ini juga diharapkan dapat meringankan beban keluarga skop target YPM.

Bagi ibubapa pelajar yang menerima sumbangan ini menganggap bantuan yang diterima oleh anaknya dapat meringankan beban perbelanjaan kerana tiga hingga empat orang anak yang bersekolah pada tahun hadapan. Kegembiraan jelas terpancar di wajah anak-anak dan ibu bapa apabila menerima sumbangan ini. Mereka bersyukur dengan sumbangan yang diterima ini serta tidak sabar untuk memulakan sesi persekolahan yang akan bermula tidak lama lagi.


Wednesday, 28 December 2016

SEKALUNG PENGHARGAAN KEPADA PERSATUAN WAMY UNISZA

Tahniah kepada pelajar UniSZA yang akan menamatkan pengajian dalam bidang masing-masing. Sekalung penghargaan dan terima kasih kepada pelajar daripada Persatuan WAMY yang telah banyak membantu dalam setiap program 
Yayasan Pendidikan MAIDAM. 

Penyampaian sijil telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Pendidikan MAIDAM pada 27 Disember 2016 di Pejabat YPM.






Tuesday, 15 November 2016

PROGRAM GENERASI MITHALI

Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), dengan kerjasama Pusat Jalinan Industri dan Masyarakat UniSZA (PJIM) dan Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) telah menganjurkan Program Generasi Mithali 2016. Projek ini merupakan satu program Inisiatif Kerjasama Universiti, Program Transformasi Luar Bandar, Strategi Lautan Biru Kebangsaan 4 (NBOS). 

Program Generasi Mithali 2016 telah dilaksanakan sebanyak tiga siri iaitu pada bulan Ogos, September dan November 2016. Majlis Perasmian Penutup telah dijalankan dengan jayanya baru-baru ini di Sekolah Kebangsaan Darat Batu Rakit. Program kali ini melibatkan 80 orang pelajar Tahun 6 dari Sekolah Kebangsaan Darat Batu Rakit, Sekolah Kebangsaan Pechah Rotan dan Sekolah Kebangsaan Bukit Wan.

Secara keseluruhannya, Program Generasi Mithali 2016 telah mencapai objektif yang memfokuskan tiga tujahan utama iaitu pemantapan al-Quran, solat dan sahsiah. Program seperti ini diharap dapat diteruskan pada masa akan datang dalam usaha melahirkan pelajar yang dapat menguasai asas fardhu ain serta mempunyai jati diri yang mantap.


Monday, 10 October 2016

PROGRAM KECEMERLANGAN SPM 2016

Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) telah menganjurkan Program Kecemerlangan SPM 2016 dengan usahasama Sekolah Menengah Kebangsaan Kompleks Tok Adis . Program yang diadakan pada 29 September hingga 1 Oktober 2016 ini melibatkan 30 orang pelajar Tingkatan 5. Matlamat utama program ini adalah untuk melatih para pelajar untuk menguasai kemahiran belajar dan teknik menjawab soalan peperiksaan SPM 2016. Program Kecemerlangan SPM 2016 ini telah diadakan di Angullia Beach House Resort, Marang yang mensasarkan penglibatan guru-guru pakar, pelajar sekolah dan penceramah. Program ini juga telah diselitkan dengan slot bersama Agensi Antidadah Kebangsaan. Slot ini adalah bertujuan untuk memberi kesedaran kepada para pelajar supaya tidak terjebak dengan penyalahgunaan dadah.

Program Kecemerlangan SPM 2016 ini bukan sahaja dapat mencapai kecemerlangan dari segi akademik malah kecemerlangan dalam aspek sahsiah para pelajar. Pelajar juga dapat memperbetulkan bacaan Al-Fatihah dalam solat kerana bacaan Al-Fatihah yang tidak betul akan memberikan masalah pada kualiti solat. Selain itu, slot bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) melahirkan perasaan takut kepada pelajar kerana ujian saringan air kencing turut dijalankan.






Monday, 13 June 2016

PROGRAM AGIHAN KURMA SUMBANGAN AJEES ENTERPRISE

Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) telah mengadakan program agihan kurma bersempena bulan Ramadhan. Kurma sumbangan Ajees Enterprise ini telah diagihkan kepada skop sasaran YPM iaitu golongan fakir dan miskin yang berada di sekitar Kuala Terengganu. Seramai 36 buah keluarga telah menerima sumbangan kurma ini.


Program ini adalah bertujuan untuk meraikan golongan fakir dan miskin di bulan Ramadhan disamping menziarahi keluarga peserta yang telah menyertai
Program Pra Bimbingan Mingguan Sesi 1/ 2016 dan Program Sentuhan Cakna YPM.







Sunday, 5 June 2016

PROGRAM KECEMERLANGAN UPSR 2016

Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) telah menganjurkan Program Kecemerlangan UPSR 2016 dengan usahasama Sekolah Kebangsaan Kampung Baharu Serada yang melibatkan 68 orang pelajar Tahun 6. Matlamat utama program ini adalah untuk melatih para pelajar untuk menguasai kemahiran belajar dan teknik menjawab soalan peperiksaan UPSR 2016. Program ini telah diadakan di Grand Puteri Hotel, Kuala Terengganu yang mensasarkan penglibatan guru-guru pakar, pelajar sekolah dan penceramah.

Program yang dilaksanakan selama tiga hari dua malam ini memberi impak yang positif daripada pelbagai aspek seperti keyakinan diri para pelajar semakin tinggi untuk menduduki peperiksaan yang sebenar. Menurut salah seorang peserta program, Nur Sofrina Iman Binti Mohd Nahar Amri, dia berazam untuk mencapai keputusan 6A dalam UPSR yang bakal tiba tidak lama lagi. Selain itu, guru-guru juga mendapat suntikan semangat dan lebih teruja untuk meningkatkan prestasi akademik para pelajar.










Sunday, 20 March 2016

PROGRAM SENTUHAN CAKNA YPM

Program Sentuhan Cakna YPM adalah program kedua yang dianjurkan oleh Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM) dengan usahasama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).  Program ini bertujuan memberi pendedahan kepada anak-anak asnaf (fakir dan miskin) untuk melibatkan diri di dalam program yang merangkumi pelbagai aktiviti yang dapat memberi pengetahuan kepada mereka. Program yang berlangsung selama tiga hari dua malam ini melibatkan seramai 34 orang peserta dan telah diadakan pada 17 hingga 19 Mac 2016 bertempat di Scout Inn Resort, Kuala Nerus, Terengganu. Peserta program melibatkan anak-anak asnaf (fakir dan miskin) di sekitar daerah Kuala Terengganu yang berumur di antara 6 dan 12 tahun.


OBJEKTIF
  1. Memberi pendedahan kepada pelbagai aktiviti serta menambah minat di dalam pembelajaran.  
  2. Mengukur sejauh mana pengetahuan serta kebolehan anak-anak asnaf yang jarang diberi ruang dan peluang dalam pelbagai aktiviti.
  3. Pendedahan tentang solat secara berjemaah dan bacaan surah Al-Fatihah dengan sebutan yang betul.
  4. Bekerjasama dalam melakukan tugas yang diberi secara berkumpulan.
  5. Melatih diri untuk lebih yakin dan berani terhadap sesuatu perkara.
  6. Membina dan memupuk sifat kepimpinan dalam diri masing-masing.

AKTIVITI

Pendaftaran dan Ice Breaking
Bicara Santai 'Aku Anak Soleh'
Klinik Al-Fatihah
Smart Solat
Explorace
Water Confident
Night Walk


IMPAK PROGRAM

Rata-rata peserta program memberi maklum balas yang positif. Ramai di antara mereka ingin menyertai program seperti ini di masa akan datang. Pelbagai aspek yang diterapkan dalam diri peserta yang mampu menjana potensi diri mereka dan mampu membawa perubahan pada diri dan mencipta kecemerlangan dalam pendidikan dan kehidupan.




Wednesday, 10 February 2016

PROGRAM PRA BIMBINGAN MINGGUAN

Program Pra Bimbingan Mingguan 
Tarikh: 4 - 6 Februari 2016
Tempat: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Program Pra Bimbingan Mingguan yang telah diadakan selama tiga hari dua malam bertempat di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Kampus Gong Badak, Kuala Terengganu telah mensasarkan anak-anak asnaf (fakir dan miskin) yang berumur 6 hingga 12 tahun yang berada di sekitar Kuala Terengganu. Seramai 22 orang peserta telah menyertai program yang pertama kali diadakan ini. Program ini adalah bertujuan untuk memberi pendekatan kepada anak-anak golongan asnaf (fakir dan miskin) dalam memberi pendedahan kepada pelbagai aktiviti serta menambah minat di dalam pembelajaran.


Aktiviti yang dilaksanakan adalah seperti berikut:

Pendaftaran dan Ice Breaking

Ceramah 'Anak Harapan Agama'
Aktiviti Air di Pusat Ko Merang
Explorace
Solat dan Mengaji
Night Walk








Program Pra Bimbingan Mingguan telah berjaya mencapai matlamatnya untuk memberi bantuan dan peningkatan ke arah mengubah cara hidup yang lebih sempurna kepada golongan sasar melalui aspek pendidikan. Program yang pertama kali diadakan ini adalah sebagai penanda aras kepada YPM untuk menghasilkan banyak lagi program atau aktiviti yang melibatkan aspek pendidikan. Diharapkan dengan pelaksanaan program sebegini, ramai pihak yang akan turut serta dalam membantu golongan sasaran yang kurang diberi ruang dan peluang dari segi pendidikan.

IMPAK PROGRAM

Program Pra Bimbingan Mingguan ini dapat melahirkan kegembiraan kepada anak-anak golongan asnaf yang tidak pernah mengikuti pelbagai aktiviti yang dijalankan. Para peserta amat teruja dan ada di antara mereka yang ingin menyertai program seperti ini di masa hadapan. Selain itu, peserta didedahkan dengan pelbagai aspek dari segi akademik, sahsiah dan aktiviti lasak. Ibu kepada salah seorang peserta, Nur Azwa Safrina Binti Yusmani berkata, prestasi akademik anaknya semakin meningkat selepas menyertai Program Pra Bimbingan Mingguan ini.

Monday, 1 February 2016

HUBUNGI KAMI



Yayasan Pendidikan MAIDAM (YPM)
Lot 9 & 10, Tingkat 1,
Bazar MAIDAM,
Jalan Masjid Abidin,
20100 Kuala Terengganu,
Terengganu Darul Iman

No. Tel: 09-6226500
No. Faks: 09-6267500

Emel
yayasanpendidikanmaidam@gmail.com

Ikuti kami di



VISI & MISI